MEI 2024

Kenaikan Gaji Baharu Penjawat Awam Sarawak Diumum Selepas Kajian Selesai


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan pakej kenaikan gaji baharu untuk penjawat awam negeri ini selepas selesai kajian implikasi kewangan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian tersebut akan mengambil tempoh selama sebulan setengah untuk disiapkan.

Beliau bagaimanapun memberi bayangan, pakej kenaikan gaji penjawat awam Sarawak adalah lebih baik dari apa yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kajian itu akan dibuat dalam tempoh sebulan setengah kerana mengambil kira implikasi kewangan kerana ia tanggungan kita.

“Insya-Allah kita boleh menanggung kenaikan yang akan kita rasmikan nanti dalam masa sebulan setengah,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidildfitri Daerah Simunjan 2024 di Dewan Mesra Simunjan hari ini.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini sempena sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menurut Perdana Menteri, kenaikan tersebut adalah yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion. 

Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak berkata Dewan Mesra Simunjan bakal diperbesarkan bagi memberi kemudahan yang selesa diperlukan oleh masyarakat.

"Kita tidaklah membina baharu tetapi membesarkan dewan ini supaya mempunyai kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh masyarakat tempatan untuk majlis-majlis atau perayaan-perayaan di mana memberi keselesaan mereka untuk menggunakannya," katanya.

Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris.